Pages

.

.

Fazura " Sayangi Dirimu "



Fazura tidak pernah menyangka impian untuk bergelar penyanyi suatu masa dahulu kini menjadi kenyataan. Meski menyedari bakatnya di dalam bidang nyanyian tidaklah sehebat bidang lakonan, artis jelita ini berani mencabar dirinya. ‘Sayangi Dirimu’ dijadikan pertaruhan pertama untuk melihat sejauh mana dirinya diterima peminat dalam bidang nyanyian.

“Menyanyi adalah impian saya semenjak kecil lagi. Cuma mungkin baru ketika ini peluang dan rezeki menyanyi sampai kepada saya. Ia bermula dengan suka-suka, namun apabila melihat ramai yang memberikan semangat dan galakan kepada saya agar serius di dalam bidang ini, saya mula jadi seronok.

“Saya tahu, nyanyian saya tidaklah sebagus mana, tetapi apa yang penting bagi saya adalah untuk berkongsi mesej-mesej positif dengan orang di luar sana melalui nyanyian. Itulah yang saya lakukan menerusi lagu ‘Sayangi Dirimu’ di mana lirik-liriknya banyak memberikan motivasi kepada orang yang mendengarnya. Alhamdulillah, sambutan terhadap lagu ini sangat di luar jangkaan dan ramai yang menyukainya,” ujar Fazura yang mendapat kepercayaan daripada Damien dan Shah Shamsiri selaku composer dan penulis lirik lagu tersebut.

Bagaimanapun, Fazura tidak menafikan, ada juga yang memperkecilkan kebolehannya dalam bidang nyanyian. Pun begitu, dirinya sentiasa bersikap positif dan tidak mengambil hati dengan segala kritikan dan kata-kata negative yang diberikan kepadanya.

“Suatu ketika dahulu, saya sentiasa terkesan dengan kata-kata negatif yang dilemparkan kepada saya. Apapun, pengalaman telah mematangkan saya. Tidak ada gunanya kita mengambil peduli perkara-perkara yang boleh menjatuhkan kita. Jujurnya saya langsung tidak berkecil hati, malah menerima segala kritikan yang diberikan dengan hati yang terbuka.

“Saya mahu menjalani kehidupan dengan penuh positif dan berkongsi hal yang sama dengan orang lain disekeliling saya. Biarlah apa yang orang nak kata, apa yang penting, kita bahagia dengan kehidupan kita,” tegas Fazura lagi. - INFO MH


KOMEN ANDA