Pages

.

.

Koleksi P.Ramlee ditawar kepada Arkib Negara





DATUK Rosnani Jamil, pengarah filem dan pelakon, menawarkan kepada Arkib Negara koleksi arwah suaminya Datuk Jamil Sulong mengenai seniman Tan Sri P.Ramlee.

Rosnani berkata arwah suaminya mempunyai koleksi yang besar mengenai seniman agung itu dalam bentuk majalah, artikel, skrip serta gambar-gambar.

"Terdapat banyak majalah, artikel, skrip serta gambar-gambar lama P.Ramlee bersama artis lain dari tahun 1952 lagi yang saya sendiri terkejut melihatnya," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Rosnani berkata demikian selepas menghadiri majlis memperingati hari kelahiran Allahyarham P.Ramlee yang ke-86 di Pustaka Peringatan P.Ramlee, di Setapak di sini hari ini.

Majlis itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Arkib Negara dengan Persatuan Peminat P.Ramlee (Perwalee) bagi mewujudkan kesedaran kepada rakyat mengenai jasa dan sumbangan P.Ramlee kepada dunia seni tanah air.

Allahyarham Jamil merupakan pelakon, pengarah filem dan penulis lirik dan merupakan seniman seangkatan P.Ramlee sejak tahun 1950-an di Studio Jalan Ampas di Singapura dan kemudian Merdeka Studio di Hulu Kelang, di sini, meninggal dunia pada September tahun lepas.

Rosnani berkata, beliau kini dalam proses membongkar barang-barang lama milik arwah suaminya dan berharap Jabatan Arkib Negara dapat datang ke rumahnya di Janda Baik, Pahang bagi melihat koleksi tersebut yang boleh digunakan sebagai bahan sejarah dan juga bagi tujuan pemuliharaan.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Arkib Negara, G. Savumtharaj berkata, pihaknya sedang berusaha memperkayakan lagi khazanah warisan negara dengan menganjurkan program seperti ini, supaya segala peristiwa dapat dicatat dan didokumentasikan secara lisan melalui penceritaan semula oleh individu yang terlibat mahupun melalui kajian.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dijalankan untuk mendapatkan koleksi peribadi P.Ramlee, namun masih banyak yang masih tersimpan dalam kalangan orang persendirian.

Justeru itu, beliau berharap sesiapa yang mempunyai bahan sejarah negara sezaman dengan Allahyarham P.Ramlee dapat menyerahkannya kepada jabatan untuk dipulihara.

Sempena minggu memperingati P.Ramlee, beberapa program turut dijalankan termasuk forum yang membincangkan tentang 'Perspektif Media Mengenai Hasil Karya P.Ramlee' yang dipengerusikan oleh Ketua Pembaca Berita RTM, Fathil Hidayat Ghazali bersama dua ahli panel iaitu juruhebah radio, penerbit serta penulis, Chuari Selamat  dan wartawan hiburan, Zainuri Misfar.

Di samping majlis tahlil, terdapat pelbagai aktiviti seperti pertandingan melukis dan menyanyikan lagu-lagu P.Ramlee dan isterinya, Puan Sri Saloma. - Bernama 

Presiden Persatuan Seni Warisan Tan Sri P. Ramlee Jaafar Abas melihat beberapa barang Tan Sri P. Ramlee yang masih elok disimpan di Pustaka Peringatan P.Ramlee hari ini. - Foto Bernama

         

KOMEN ANDA